Wednesday, December 16, 2009

NKRA LAGI


NAJIB PUAS HATI PENCAPAIAN KESELURUHAN NKRA


KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau secara umumnya berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Perdana Menteri berkata bagaimanapun masyarakat umum boleh membuat penelitian mengenai laporan itu yang akan dibentangkan kepada wakil badan bukan kerajaan pada Khamis ini, dan kepada orang ramai Jumaat ini di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini.

Najib berharap rakyat dapat memberi maklum balas mengenainya kepada kerajaan. "Pencapaian mereka memuaskan tetapi tentu sekali dalam mana-mana kerajaan, ada ruang untuk memperbaiki prestasi mereka," katanya selepas mendengar pembentangan mengenai pencapaian enam NKRA di sini Ahad.

Turut hadir, kedua-dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Idris Jala yang diberikan tanggungjawab mengenai pengurusan prestasi NKRA.

April lepas, Perdana Menteri memperkenalkan pendekatan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk memantau prestasi dan pencapaian anggota Kabinetnya sebagai melambangkan pembaharuan serta pendekatan kerajaan yang lebih bertanggungjawab dan mendahulukan rakyat.

Berikutan itu, enam menteri kanan dilantik menerajui enam NKRA bagi mencapai matlamat indeks KPI secara lebih berkesan.

Dalam aspek itu, Najib terlibat secara langsung untuk mengkaji prestasi semua menteri pada setiap enam bulan.

Enam teras NKRA ialah membabitkan bidang usaha bagi mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan: meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah: memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman: dan menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

Bagi NKRA untuk meluaskan
akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menterinya ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pelajaran),
 manakala bagi
mengurangkan kadar jenayah, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri),
dan NKRA
memerangi rasuah, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).


Bagi NKRA
tingkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah pula menterinya ialah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat),

memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman Datuk Seri Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), dan


menambah baik pengangkutan awam, menterinya ialah Datuk Seri Ong Tee Keat (Menteri Pengangkutan).

Najib berkata langkah memperkenalkan NKRA ialah bagi menunjukkan kerajaan amat komited melakukan Program Transformasi Kerajaan (GTP) di bawah gagasan 1Malaysia iaitu "Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan."

Perdana Menteri juga yakin usaha yang dilakukan itu menunjukkan kerajaan sangat telus dan bersungguh-sungguh bagi mencapai semua yang ditetapkan di bawah sasaran pencapaian NKRA.

Oleh itu, saya berharap orang ramai menggunakan kesempatan ini untuk mengetahui lebih mendalam tentang pendekatan yang kerajaan gunakan dan daripada itu mereka boleh tahu apakah sasaran yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Beliau juga berpuas hati dengan bengkel yang diadakan hari ini, yang merupakan siri kelima seumpamanya, berhubung NKRA tersebut dan ia menunjukan komitmen yang tinggi di kalangan jemaah menteri.

Katanya GTP melalui pendekatan NKRA itu juga mencatat sejarah kerana ia merupakan kali pertama sebuah kerajaan melaksanakan usaha berkenaan secara menyeluruh dan sanggup mendedahkan kepada orang ramai untuk menilai pencapaian kerajaan.

Berhubung Bidang Keberhasilan Utama (KRA) yang melibatkan kementerian lain selain daripada di bawah NKRA, Najib berkata penilaian terhadap perkara itu dibuat secara berasingan dan dijangka selesai akhir bulan ini.

Perdana Menteri berkata setakat ini, 10 anggota Kabinet belum membentangkan laporan pencapaian masing-masing.

"Saya akan menemui beberapa menteri esok dan yang lain selepas Persidangan Iklim di Copenhagen. Semua (penilaian) pembentangan akan selesai akhir bulan ini," katanya. Kerajaan sebelum ini menubuhkan lapan makmal yang bertanggungjawab terhadap GTP termasuk membangunkan NKRA.

Lapan makmal itu yang mula beroperasi pada 5 Okt lepas, masing-masing bagi enam NKRA iaitu pendidikan, isi rumah berpendapatan rendah, infrastruktur asas luar bandar, pengangkutan awam di bandar, rasuah dan jenayah manakala dua lagi untuk 1Malaysia serta perpaduan negara dan pengurusan data.

Program-program itu merupakan langkah yang sedang dilaksanakan dan akan dijalankan melibatkan tempoh 2010 hingga 2012.

Najib turut mengucapkan terima kasih kepada jemaah menteri dan kakitangan awam yang bekerja siang dan malam bagi merangka inisiatif untuk setiap NKRA tersebut.
Sumber : Bernama

No comments:

Post a Comment