Wednesday, December 16, 2009

BTN



PM Arah BTN Pergiat Elemen 1Malaysia Dalam Modulnya


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Biro Tata Negara (BTN) supaya mempergiatkan elemen gagasan 1Malaysia dalam modul kursus dan seminarnya.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata sehubungan itu, pihaknya akan mengadakan beberapa sesi penerangan kepada lebih 2,000 tenaga penggerak BTN pada bulan depan bagi memberi lebih pemahaman tentang gagasan itu.

"Kita akan menjelaskan lagi gagasan 1Malaysia ini kepada mereka yang terdiri daripada fasilitator, penceramah, pengkuliah dan jurulatih BTN. Sebenarnya kita sudah mula sejak Mei lepas tetapi tidak secara menyeluruh.

"Dalam kursus itu juga, perlu ada ceramah 1Malaysia dan menerapkan lapan nilai gagasan itu termasuk budaya berprestasi tinggi, ketepatan, budaya ilmu, inovasi, integriti, ketabahan, kesetiaan dan kebijaksanaan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri yang bertanggungjawab kepada BTN berkata modul asal BTN mengenai nilai murni dan patrotisme akan dikekalkan.

Beliau berkata Perdana Menteri telah memberi arahan itu kepada beliau pada mesyuarat pagi tadi bersama 30 pegawai BTN yang terdiri daripada ketua pengarah, timbalan ketua pengarah, pengarah negeri dan pengarah cawangan di bangunan Parlimen.

"Kita telah terangkan kepada Perdana Menteri mengenai polemik berhubung BTN yang disiarkan media dalam dua minggu ini dan beliau memahaminya. Beliau juga memberi penghargaan kepada BTN yang selama ini telah memberi kursus kepada berjuta orang," katanya.

Ahmad berkata, kira-kira 500,000 peserta telah mengikuti kursus BTN tahun lalu dan hanya segelintir sahaja daripada mereka mengadu mengenai kursus itu yang dikatakan bersifat perkauman seperti yang didakwa pembangkang.

Katanya kursus anjuran BTN untuk menyemai semangat patriotik kepada negara, selain menanam nilai-nilai murni dalam perwatakan individu dan bukannya memainkan sentimen perkauman yang didakwa pembangkang.

Jumlah 500,000 orang menyertai kursus BTN tahun lepas, sudah cukup membuktikan bahawa ia memberi banyak faedah kepada peserta selain menyemaikan kesedaran agar tidak melakukan kegiatan tidak berfaedah seperti terlibat dalam demonstrasi jalanan, tambah beliau.

Mengenai Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf), beliau berkata ia akan diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor selama tiga hari dan bermula Jumaat ini, bertujuan mendekatkan warga Felda terutama dari luar bandar.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka hadir bagi menyampaikan Piala Perdana Belia Felda Malaysia 2009 dan anugerah-anugerah kepada individu dan persatuan belia Felda yang cemerlang.

SUMBER : BERNAMA, 16 DIS 2009

No comments:

Post a Comment