Thursday, December 17, 2009

ISU BTN AKAN DISELESAIKAN


YAB.Dato' Seri Najib Akan Selesaikan Isu BTN

Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri menyelesaikan isu berkaitan kurikulum Biro Tata Negara (BTN) yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini.


Komitmen itu dinyatakan Perdana Menteri ketika mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini pagi ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia hari ini, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, laporan media khususnya akhbar-akhbar tempatan mengenai isu BTN merupakan perkara yang sedang diberi perhatian serius oleh kerajaan.


‘‘Perdana Menteri pada mesyuarat Kabinet hari ini menyatakan beliau sendiri akan memainkan peranan menyelesaikan isu BTN ini.


‘‘Pihak kementerian menyerahkan kepada beliau tentang apa yang hendak disusul mengenai isu ini, Perdana Menteri dijangka akan membuat penjelasan dan kesimpulan mengenainya,” katanya ketika dihubungi di sini.
Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, Kabinet bersetuju merombak kurikulum BTN supaya ia lebih sesuai untuk semua kaum sejajar dengan gagasan 1Malaysia.
Katanya, keputusan itu dibuat bagi memastikan kursus tersebut tidak tertumpu kepada satu kaum sahaja dan tidak memecahkan rakyat mengikut etnik.


Bagaimanapun kenyataan Mohamed Nazri itu berbeza dengan nada yang disuarakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang menjelaskan modul BTN tidak perlu dirombak sebaliknya akan ditambah baik agar sesuai dengan situasi semasa.


Kenyataan Mohamed Nazri itu juga telah menimbulkan perasaan kurang senang khususnya di kalangan pemerhati politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu kerana menggambarkan seolah-olah kerajaan tunduk kepada desakan pembangkang selain terlalu bersifat pemaaf.


Komen beliau itu susulan daripada tindakan drastik kerajaan Selangor melarang kakitangan awam serta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terletak di bawah kuasa kerajaan negeri daripada menyertai kursus BTN, sebelum tindakan sama turut diambil oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kelantan.


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam komennya mengenai isu itu mahu kerajaan tidak terperangkap dengan permainan politik pembangkang sehingga terpaksa merombak kurikulum BTN yang telah sekian lama dipraktikkan secara berkesan di negara ini.


Tegas Dr. Mahathir, tiada sebarang masalah terhadap modul kurikulum yang diguna pakai oleh BTN sekarang.

FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA

" Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangankan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.  Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. "

Wednesday, December 16, 2009

BTN



PM Arah BTN Pergiat Elemen 1Malaysia Dalam Modulnya


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Biro Tata Negara (BTN) supaya mempergiatkan elemen gagasan 1Malaysia dalam modul kursus dan seminarnya.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata sehubungan itu, pihaknya akan mengadakan beberapa sesi penerangan kepada lebih 2,000 tenaga penggerak BTN pada bulan depan bagi memberi lebih pemahaman tentang gagasan itu.

"Kita akan menjelaskan lagi gagasan 1Malaysia ini kepada mereka yang terdiri daripada fasilitator, penceramah, pengkuliah dan jurulatih BTN. Sebenarnya kita sudah mula sejak Mei lepas tetapi tidak secara menyeluruh.

"Dalam kursus itu juga, perlu ada ceramah 1Malaysia dan menerapkan lapan nilai gagasan itu termasuk budaya berprestasi tinggi, ketepatan, budaya ilmu, inovasi, integriti, ketabahan, kesetiaan dan kebijaksanaan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri yang bertanggungjawab kepada BTN berkata modul asal BTN mengenai nilai murni dan patrotisme akan dikekalkan.

Beliau berkata Perdana Menteri telah memberi arahan itu kepada beliau pada mesyuarat pagi tadi bersama 30 pegawai BTN yang terdiri daripada ketua pengarah, timbalan ketua pengarah, pengarah negeri dan pengarah cawangan di bangunan Parlimen.

"Kita telah terangkan kepada Perdana Menteri mengenai polemik berhubung BTN yang disiarkan media dalam dua minggu ini dan beliau memahaminya. Beliau juga memberi penghargaan kepada BTN yang selama ini telah memberi kursus kepada berjuta orang," katanya.

Ahmad berkata, kira-kira 500,000 peserta telah mengikuti kursus BTN tahun lalu dan hanya segelintir sahaja daripada mereka mengadu mengenai kursus itu yang dikatakan bersifat perkauman seperti yang didakwa pembangkang.

Katanya kursus anjuran BTN untuk menyemai semangat patriotik kepada negara, selain menanam nilai-nilai murni dalam perwatakan individu dan bukannya memainkan sentimen perkauman yang didakwa pembangkang.

Jumlah 500,000 orang menyertai kursus BTN tahun lepas, sudah cukup membuktikan bahawa ia memberi banyak faedah kepada peserta selain menyemaikan kesedaran agar tidak melakukan kegiatan tidak berfaedah seperti terlibat dalam demonstrasi jalanan, tambah beliau.

Mengenai Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf), beliau berkata ia akan diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor selama tiga hari dan bermula Jumaat ini, bertujuan mendekatkan warga Felda terutama dari luar bandar.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka hadir bagi menyampaikan Piala Perdana Belia Felda Malaysia 2009 dan anugerah-anugerah kepada individu dan persatuan belia Felda yang cemerlang.

SUMBER : BERNAMA, 16 DIS 2009

NKRA LAGI


NAJIB PUAS HATI PENCAPAIAN KESELURUHAN NKRA


KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau secara umumnya berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Perdana Menteri berkata bagaimanapun masyarakat umum boleh membuat penelitian mengenai laporan itu yang akan dibentangkan kepada wakil badan bukan kerajaan pada Khamis ini, dan kepada orang ramai Jumaat ini di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini.

Najib berharap rakyat dapat memberi maklum balas mengenainya kepada kerajaan. "Pencapaian mereka memuaskan tetapi tentu sekali dalam mana-mana kerajaan, ada ruang untuk memperbaiki prestasi mereka," katanya selepas mendengar pembentangan mengenai pencapaian enam NKRA di sini Ahad.

Turut hadir, kedua-dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Idris Jala yang diberikan tanggungjawab mengenai pengurusan prestasi NKRA.

April lepas, Perdana Menteri memperkenalkan pendekatan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk memantau prestasi dan pencapaian anggota Kabinetnya sebagai melambangkan pembaharuan serta pendekatan kerajaan yang lebih bertanggungjawab dan mendahulukan rakyat.

Berikutan itu, enam menteri kanan dilantik menerajui enam NKRA bagi mencapai matlamat indeks KPI secara lebih berkesan.

Dalam aspek itu, Najib terlibat secara langsung untuk mengkaji prestasi semua menteri pada setiap enam bulan.

Enam teras NKRA ialah membabitkan bidang usaha bagi mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan: meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah: memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman: dan menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

Bagi NKRA untuk meluaskan
akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menterinya ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pelajaran),
 manakala bagi
mengurangkan kadar jenayah, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri),
dan NKRA
memerangi rasuah, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).


Bagi NKRA
tingkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah pula menterinya ialah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat),

memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman Datuk Seri Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), dan


menambah baik pengangkutan awam, menterinya ialah Datuk Seri Ong Tee Keat (Menteri Pengangkutan).

Najib berkata langkah memperkenalkan NKRA ialah bagi menunjukkan kerajaan amat komited melakukan Program Transformasi Kerajaan (GTP) di bawah gagasan 1Malaysia iaitu "Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan."

Perdana Menteri juga yakin usaha yang dilakukan itu menunjukkan kerajaan sangat telus dan bersungguh-sungguh bagi mencapai semua yang ditetapkan di bawah sasaran pencapaian NKRA.

Oleh itu, saya berharap orang ramai menggunakan kesempatan ini untuk mengetahui lebih mendalam tentang pendekatan yang kerajaan gunakan dan daripada itu mereka boleh tahu apakah sasaran yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Beliau juga berpuas hati dengan bengkel yang diadakan hari ini, yang merupakan siri kelima seumpamanya, berhubung NKRA tersebut dan ia menunjukan komitmen yang tinggi di kalangan jemaah menteri.

Katanya GTP melalui pendekatan NKRA itu juga mencatat sejarah kerana ia merupakan kali pertama sebuah kerajaan melaksanakan usaha berkenaan secara menyeluruh dan sanggup mendedahkan kepada orang ramai untuk menilai pencapaian kerajaan.

Berhubung Bidang Keberhasilan Utama (KRA) yang melibatkan kementerian lain selain daripada di bawah NKRA, Najib berkata penilaian terhadap perkara itu dibuat secara berasingan dan dijangka selesai akhir bulan ini.

Perdana Menteri berkata setakat ini, 10 anggota Kabinet belum membentangkan laporan pencapaian masing-masing.

"Saya akan menemui beberapa menteri esok dan yang lain selepas Persidangan Iklim di Copenhagen. Semua (penilaian) pembentangan akan selesai akhir bulan ini," katanya. Kerajaan sebelum ini menubuhkan lapan makmal yang bertanggungjawab terhadap GTP termasuk membangunkan NKRA.

Lapan makmal itu yang mula beroperasi pada 5 Okt lepas, masing-masing bagi enam NKRA iaitu pendidikan, isi rumah berpendapatan rendah, infrastruktur asas luar bandar, pengangkutan awam di bandar, rasuah dan jenayah manakala dua lagi untuk 1Malaysia serta perpaduan negara dan pengurusan data.

Program-program itu merupakan langkah yang sedang dilaksanakan dan akan dijalankan melibatkan tempoh 2010 hingga 2012.

Najib turut mengucapkan terima kasih kepada jemaah menteri dan kakitangan awam yang bekerja siang dan malam bagi merangka inisiatif untuk setiap NKRA tersebut.
Sumber : Bernama

PELAJARI BAHASA MANDARIN


NAJIB SARAN RAKYAT MALAYSIA PELAJARI BAHASA MANDARIN




KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Rakyat Malaysia, terutama dari kaum Melayu perlu mempelajari bahasa Mandarin memandangkan ia kini menjadi bahasa yang cukup penting apabila China muncul sebagai salah satu kuasa besar dalam ekonomi dunia, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata dengan mempelajari satu lagi bahasa, ia akan membolehkan seseorang itu memahami dengan lebih jelas mengenai orang lain yang mempunyai latar belakang yang berbeza, sekaligus membolehkan mereka lebih menghormati antara satu sama lain.

"Hanya apabila kita menghormati antara satu sama lain, baru kita boleh jadi rakyat Malaysia yang sebenar," katanya semasa berucap pada majlis makan malam sempena ulang tahun ke-90 Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa di sini Isnin malam.

Katanya dengan mempelajari bahasa Mandarin, lain-lain kaum, terutama kaum Melayu, akan dapat memahami kaum Cina dengan lebih baik.

"Mungkin sudah lewat bagi saya untuk mempelajari bahasa Mandarin, tapi saya berharap untuk melihat lebih ramai kaum Melayu mempelajari bahasa ini di masa hadapan," katanya.

Najib berkata anak bongsunya, Norashman Razak, yang ketika ini sedang belajar di Universiti Georgetown, Amerika, juga mengambil kursus bahasa Mandarin dan menambah bahawa anaknya itu nanti hanya boleh bertutur dalam bahasa Mandarin dalam masa empat tahun lagi.

"Mungkin satu hari nanti saya boleh jemput dia untuk menyampaikan ucapan dalam bahasa Mandarin," katanya.

Menyentuh mengenai kedudukan sekolah persendirian Cina dalam negara, Perdana Menteri berkata peruntukan di bawah Akta Pendidikan 1996 yang digubal semasa beliau memegang jawatan Menteri Pendidikan memberi jaminan kepada pendidikan dan perkembangan sekolah-sekolah Cina di Malaysia.

"Sekolah-sekolah persendirian Cina tidak perlu bimbang dan khuatir kerana kewujudan sekolah ini terjamin oleh kerajaan melalui Akta Pendidikan 1996," kata Najib.

Beliau berkata dasar liberal kerajaan terhadap pendidikan sejak kemerdekaan juga menjadi faktor utama perkembangan sekolah-sekolah persendirian Cina dalam negara, yang mana Malaysia kini menjadi sebuah negara di rantau ini yang mempunyai banyak Sekolah Cina dan ramai rakyatnya berpendidikan Cina.

Najib berkata kewujudan dan perkembangan sekolah-sekolah yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa perantaraan juga menjadi satu kekuatan dan kepelbagaian di Malaysia.

"Ini menunjukkan kerajaan pimpinan Barisan Nasional sentiasa bersikap liberal dalam pertimbangan dasar-dasar yang kita tetapkan, sehingga di rantau Asia Tenggara dan di luar China, Malaysia merupakan negara yang memiliki bilangan berpendidikan Cina yang paling ramai sekali," katanya.

Katanya walaupun isu pendidikan sama ada hanya perlu satu aliran atau berbagai aliran sering menjadi persoalan, namun katanya beliau percaya kewujudan pelbagai aliran adalah baik kerana ia dapat melahirkan masyarakat yang berkepelbagaian, yang mana ia merupakan satu kekuatan dan aset kepada negara.

Mengulas kejayaan Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Najib berkata kenyataan bahawa ibu bapa kaum Cina menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah itu menunjukkan bahawa komuniti tersebut komited dan meletakkan keutamaan paling tinggi terhadap pendidikan.

Perdana Menteri berkata sehingga kini terdapat 60 sekolah-sekolah persendirian China dalam negara.
Sumber : Bernama

PERDANA MENTERI MALAYSIA


SEKOLAH 1 ALIRAN


Pandangan pelbagai pihak sedia diterima

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Kementerian Pelajaran sentiasa bersikap terbuka dan sedia menerima pandangan daripada mana-mana pihak berhubung cadangan supaya diwujudkan sekolah satu aliran.
Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pandangan pelbagai pihak itu amat penting supaya sesuatu dasar yang akan diperkenalkan oleh kerajaan boleh diterima serta tidak menyentuh sensitiviti mana-mana kaum.
''Kita hendaklah bersama-sama mendokong sistem pendidikan yang dipersetujui semua pihak di negara ini.
''Sistem pendidikan pelbagai aliran yang ada di negara kita hari ini adalah takdir sejarah yang hanya boleh diubah sekiranya semua kaum bersedia menerima sistem sekolah satu aliran," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Prof. Datuk Dr. Firdaus Abdullahpada sidang Dewan Negara hari ini.

Firdaus bertanya sama ada Kementerian Pelajaran berpuas hati bahawa sistem sekolah pelbagai aliran tidak akan menggagalkan usaha mewujudkan perpaduan kaum dan pembentukan negara bangsa.
Mohd. Puad berkata, sistem yang ada sekarang masih mengekalkan perpaduan.
''Seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sistem sekolah satu aliran hanya boleh dilaksanakan jika kita semua bersedia dan jika ia dikehendaki rakyat," katanya.

NKRA 4NOV


04 NOV - 4 SUB NKRA PENDIDIKAN

muhyiddin-yasin2
KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi tumpuan kepada empat sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pendidikan bagi melaksanakan perancangan pendidikan untuk tahun depan dan dalam
Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau berkata, empat sub-NKRA berkenaan ialah memperluas dan memantapkan pendidikan prasekolah, meningkat kadar literasi dan numerasi, mewujudkan sekolah berprestasi tinggi dan mengiktiraf pengetua dan guru besar yang menunjukkan prestasi cemerlang.
“Objektif yang perlu dicapai ialah memastikan murid mendapat pembelajaran optimum mengikut kemampuan mereka dan dapat memberikan sumbangan berguna kepada masyarakat serta negara hasil persekolahan dan pendidikan yang mereka peroleh,” katanya ketika merasmikan Seminar Pembangunan Pendidikan RMK-10 di sini, semalam.
Muhyiddin berkata, bagi menjayakan misi membangunkan model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti serta nilai tambah tinggi, aspek pembangunan modal insan akan dijadikan teras utama dalam perancangan pembangunan pendidikan sepanjang RMK-10.
Katanya, pembangunan modal insan akan dilaksanakan melalui pendekatan holistik merangkumi segala usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, membentuk individu intelek dalam bidang sains dan teknologi, menggilap keupayaan keusahawanan serta memupuk sikap, nilai dan etika yang positif.
“Selaras matlamat melahirkan modal insan berkualiti tinggi, kerajaan memperuntukkan RM30 bilion bagi pendidikan rendah dan menengah tahun depan yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 5.5 juta murid.
Ia termasuk emolumen operasi pendidikan sebanyak RM19.6 bilion, program bantuan dan biasiswa pelajar (RM2.8 bilion), membina 80 sekolah baru, 1,100 blok tambahan dan 347 projek gantian (RM1.6 bilion) dan mengubah suai dan menaik taraf sekolah daif di seluruh negara (RM1.1 bilion).
Di SHAH ALAM, beliau berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mendapatkan maklumat prestasi kementerian berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pada Jumaat ini.
Muhyiddin berkata, ia selaras komitmen Perdana Menteri yang tegas untuk mengubah kualiti hidup rakyat dengan meningkatkan keberkesanan kerajaan sejak memegang jawatan itu April lalu.
“Kita tak boleh main-main... kena serius. Saya percaya kita nak membuktikan walau apa pun keadaannya, Barisan Nasional (BN) adalah parti lebih berwibawa, berkemampuan untuk menyelesaikan dan membantu membela nasib rakyat.
“Kita lihat apa yang berlaku dalam parti pembangkang, sudah agak berkecamuk. Sebab itu ada wakil rakyat meninggalkan parti mereka,” katanya.
Sumber: Berita Harian

NKRA - BIDANG KEBERHASILAN UTAMA NEGARA (NKRA)


POINTERS 6 BIDANG KEBERHASILAN UTAMA NEGARA (NKRA)

Soalan Dan Jawapan
1. Bilakan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan 6 National Key Result Area (NKRA)?
• Pada Isnin (27 Julai 2009), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan Indeks Prestasi Utama (KPI) enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), termasuk membabitkan bidang usaha bagi mengurangkan kadar jenayah, dan memerangi rasuah. Bidang-bidang lain termasuk meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan; meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah; memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman; dan menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.
2. Siapakah Menteri-menteri  yang bertanggungjawab menerajui 6 NKRA berkenaan?
• Bagi setiap NKRA, seorang menteri akan dilantik sebagai 'lead minister' atau menteri pimpinan bagi menerajui NKRA yang ditetapkan. Menteri-menteri yang dilantik ialah:
I. Bagi NKRA untuk meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menterinya ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pelajaran)
II. Bagi NKRA mengurangkan kadar jenayah, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri)
III. Bagi NKRA memerangi rasuah, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

IV. Bagi NKRA tingkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah pula menterinya ialah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat)

V. Bagi NKRA memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman ialah Datuk Seri Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah)
VI. Bagi NKRA menambah baik pengangkutan awam, menterinya ialah Datuk Seri Ong Tee Keat (Menteri Pengangkutan).
3. Bagaimanakah NKRA dilaksanakan?
• Perdana Menteri akan bertanggungjawab secara keseluruhan terhadap matlamat NKRA dan pencapaian KPI tersebut
• KPI akan diletakkan kepada setiap 6 jurusan NKRA. Setiap NKRA, akan dikenal pasti pula KPI-KPI nya dengan sasaran khusus agar dapat diukur. Berpandukan dengan KPI ini, segala prosedur akan diperkemas, segala sumber dan tenaga dalam organisasi akan digembleng dan segala usaha akan ditumpu untuk mencapai sasaran yang di pateri dalam satu tempoh masa munasabah yang dijanjikan
• Setiap minggu PM akan berjumpa dengan setiap 'lead minister' ini bagi menilai pencapaian KPI yang ditentukan. Maknanya dalam setiap enam minggu, PM akan dapat menyelesaikan satu pusingan penilaian pencapaian bagi enam lapangan NKRA seperti yang direncanakan.
• Bukan itu sahaja, anggota Jemaah Menteri lain yang tidak termasuk dalam NKRA juga tidak terkecuali daripada mempunyai KPI kerana mereka tetap dipertanggungjawabkan untuk mencapai KPI kementerian masing-masing, yang akan dinilai oleh Perdana Menteri sendiri setiap enam bulan.
• Sebagai bukti tahap kebersungguhan untuk menjayakan rencana ini, 3 bengkel khusus telah diadakan di peringkat Jemaah Menteri. Bengkel-bengkel tersebut adalah bagi merangka, memperincikan dan mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang berbangkit. Sesungguhnya, kita komited melakukan proses transformasi melalui pengurusan berteraskan pencapaian dengan menggunakan kaedah penetapan NKRA dan pengukuran KPI. Ini semua dilakukan bagi memastikan pada analisa akhir rakyatlah yang akan memperoleh faedahnya.
4. Latar belakang merevolusikan pengurusan

Perkhidmatan Kerajaan : Pencapaian Diutamakan

• Pada hari pertama dilantik menjadi Perdana Menteri, PM telah menyatakan dengan jelas bahawa kepimpinan negara di bawah panji pentadbiran kini akan membawa pendekatan baru, bagi menempa sebuah zaman baru dan bakal menjelmakan pula sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan kepentingan rakyat.
• Pada 28hb April, PM telah mengutarakan Key Performance Indicator atau Petunjuk Prestasi Utama ringkasnya KPI, yang akan menjadi piawai kepada pencapaian anggota pentadbiran dan penjawat awam. KPI merupakan satu amalan penting dalam pengurusan prestasi untuk menilai dan mengukur sasaran yang ditetapkan oleh sesuatu organisasi seperti kementerian atau agensi kerajaan secara objektif. KPI telah diguna pakai oleh banyak syarikat korporat dan didapati sebagai radas timbangan kerja yang sangat berkesan. Malah, mekanisme ini juga diterima pakai dengan jayanya oleh kerajaan di negara-negara maju seperti Britain, Australia dan Kanada.
• Ini kerana Kepimpinan tidak akan bermakna jika ia tidak berpaksikan kepada pencapaian. Hatta, kemuncak kepada penilaian rakyat berkait kepimpinan sektor awam mahupun politik adalah pencapaian. Metodologi ini juga akan membolehkan perkhidmatan awam bahkan anggota pentadbiran dinilai secara menyeluruh dari aspek kuantitatif dan kualitatif.
• Pada hari ke seratus pentadbiran PM baru-baru ini, PM telah mengumumkan 6 bidang keberhasilan utama nasional atau National Key Results Area, singkatannya NKRA. Ia menjadi bidang-bidang yang diberi keutamaan di peringkat kebangsaan.

5. Apakah tujuan pelaksanaan NKRA?

• Tujuan PM memperkenalkan NKRA dan KPI adalah bagi memastikan elemen kebertanggungjawaban yang serius, wujud di kalangan anggota pentadbiran dan juga penjawat awam.
• Puncanya ialah, PM tidak mahu rakyat sebagai klien utama berada dalam keadaan teraba-raba dan samar, akan apakah inisiatif, rencana dan hala tuju pembangunan yang sedang digembleng oleh Kerajaan.
• PM mahu segala rancangan pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat ini di maklum dan diketahui oleh rakyat agar mereka dapat memantau dan menilai pencapaian sasaran seperti yang ditetapkan.
• PM turut  meletakkan KPI kepada 6 jurusan NKRA tersebut. Untuk setiap NKRA, akan dikenal pasti pula KPI-KPI-nya dengan sasaran secara khusus agar dapat diukur. Dengan adanya KPI ini, maka segala prosedur akan diperkemas, segala sumber dan tenaga dalam organisasi akan digembleng dan segala usaha akan ditumpu untuk mencapai sasaran yang di pateri dalam satu tempoh masa munasabah yang dijanjikan.
 
6. Apakah perincian 6 Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA)?

1) NKRA yang pertama :Mengurangkan Kadar Jenayah
• Sesebuah negara yang menuju ambang kemajuan seperti Malaysia perlu berada dalam keadaan aman dan damai. Jauh dari segala bentuk ancaman dan jenayah. Walau bagaimanapun di mana-mana negara di dunia pencegahan jenayah secara total tidak mungkin dapat dicapai. Pastinya ada sahaja dari masa ke semasa kejadian-kejadian yang sukar untuk dielakkan daripada ianya berlaku.
• Oleh yang demikian, kerajaan memandang serius isu pencegahan jenayah dan meletakkan keutamaan pengurangan kadar jenayah sebagai salah satu NKRA di bawah Kementerian Dalam Negeri. Untuk itu, kerajaan telah mengenal pasti NKRA pengurangan jenayah dan di pecah bahagi kepada tiga bahagian iaitu:

i) Jenayah jalanan

Jenayah jalanan diberi penekanan kerana didapati ia mendatangkan trauma dan ketakutan berpanjangan kepada ahli keluarga juga anggota masyarakat. Apa yang dimaksudkan dengan jenayah jalanan termasuklah curi ragut, samun tanpa bersenjata dan samun berkawan tanpa bersenjata api. Statistik menunjukkan jenayah kategori ini bukanlah enteng-entengan kerana ia merupakan 17% daripada keseluruhan indeks jenayah 2008. Manakala hot spots kepada jenayah jenis ini telah dikenal pasti terutamanya di empat kawasan utama iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor. Didapati, negeri-negeri ini mencatat sebanyak 72% daripada jumlah keseluruhan jenayah jalanan pada tahun 2008. Oleh sebab itu kerajaan menetapkan sasaran pengurangan jenayah jalanan ini sebanyak 20% pada penghujung tahun 2010.
ii) Keselamatan awam
Penumpuan akan diberikan dalam hal penambahbaikan persepsi rakyat terhadap keselamatan awam di mana pasukan-pasukan sukarela yang sedia ada terutamanya RELA akan dikemas kini dan diberi latihan secukupnya secara lebih teratur. Ini  termasuklah penyeragaman uniform supaya mereka dapat dilibatkan bersama PDRM khususnya dalam usaha membanteras jenayah jalanan. Dalam usaha ini, balai-balai yang berkaitan akan dinaiktarafkan serta peralatan-peralatan yang diperlukan akan turut ditambah. Selain itu, langkah-langkah pengawalan dan pencegahan akan ditingkatkan lagi dengan menambah peralatan CCTV.
iii) Peningkatan Prestasi Agensi Penguatkuasaan
Untuk menaikkan prestasi agensi penguatkuasaan pula, Kementerian Dalam Negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Perdana Menteri untuk mengkaji cara-cara mempercepatkan proses perundangan terhadap kes-kes tertangguh misalnya dengan mewujudkan tribunal atau mahkamah khas bagi jenayah jalanan.
2) NKRA yang kedua – Memerangi rasuah
• Kerajaan amat komited dalam usaha memerangi rasuah. Seperti mana yang kita semua tahu, gejala rasuah haruslah dibendung sebelum ianya terus membarah. Badan antarabangsa iaitu Transparency International dalam Corruption Perception Index mereka, meletakkan Malaysia di tangga 47 pada tahun 2008 berbanding dengan kedudukan nombor 39 pada tahun 2004.
•  Oleh itu, untuk memastikan persepsi kedudukan dan ranking  Malaysia bertambah pulih pada masa hadapan, kerajaan beriltizam mengemas kini polisi, prosedur dan penguatkuasaan yang berkaitan.
• Sehubungan dengan itu, kerajaan telah pun mengambil keputusan bahawa semua perolehan kerajaan haruslah menggunakan tender terbuka atau pun tender terhad kecuali dalam kes-kes tertentu. Manakala dari segi peningkatan penguatkuasaan, kerajaan telah pun menaikkan taraf badan pencegah rasuah menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan bidang kuasa dan perundangan yang lebih efektif.

3) NKRA yang ketiga  – Meluaskan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti dan Berkemampuan

• Seperti yang semua maklum, ilmu pengetahuan menjadi kandil penyuluh yang menerangi kegelitaan hidup di dunia. Malah ilmu menjadi prasyarat kepada pembikinan mana-mana tamadun yang pernah terbina dan yang menentukan kelancangannya.  Justeru, kerajaan  akan terus mengiktiraf dan memberikan ruang kepada yang terbaik dan terbilang tanpa mengira latar keturunan mahupun taraf sosioekonomi.
• Oleh itu, dalam bidang pendidikan, PM mahu memastikan anak-anak bangsa mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Mahu tidak mahu, generasi muda Malaysia perlu berilmu, mesti berfikiran kreatif, berinovatif, bercirikan nilai murni serta mampu bersaing di persada internasional yang penuh cabaran ini dari kemudahan yang diberikan.
• Kerajaan akan memberikan keutamaan untuk menyediakan pendidikan yang terbaik bermula daripada peringkat asas iaitu peringkat prasekolah. Untuk itu, pendidikan prasekolah akan dijadikan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan dalam aliran perdana.
•  Adalah amat merugikan kerana terdapat kanak-kanak yang pergi ke sekolah tetapi masih tidak menguasai kemahiran membaca atau menulis apabila meninggalkan bangku pengajian. Maka, bagi menangani kemelut ini, PM telah menetapkan supaya semua kanak-kanak normal yang bersekolah boleh menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira ketika melangkah ke Tahun 4 sekolah rendah sebelum penghujung 2012.  Kerajaan menyedari hanya 60% sahaja anak-anak Malaysia yang dapat akses pendidikan pra sekolah, jadi KPI menjelang 2012 berharap pencapaian ini dapat dinaikkan sekurang-kurangnya kepada 80%.
• Bersesuaian dengan konsep pencapaian diutamakan pula, kepimpinan sekolah di peringkat rendah dan menengah perlu menyedari mereka adalah peneraju tapak semaian modal insan nasional. Berkaitan itu, kerajaan dengan ini ingin menawarkan new deal atau satu Bai’ah baru  kepada semua pengetua dan guru besar sekolah dengan janji ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.
• Selain itu , sebagai projek perintis, sebanyak 100 buah sekolah, terdiri daripada jenis harian biasa, sekolah bestari, kluster, trust school atau sekolah berpiagam dan sekolah berasrama penuh,  akan dikenal pasti untuk diangkat menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi. Dengan ini, kerajaan akan menyediakan persekitaran pelajaran dan pembelajaran yang kondusif serta menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memacu lagi  pencapaian pelajar. Semua rencana ini akan dilaksanakan dalam tempoh 3 tahun sebelum penamat 2012.

4) NKRA yang keempat – Meningkat Taraf Hidup Rakyat Yang Berpendapatan Rendah

• PM bertekad untuk membanteras kemiskinan tegar menjelang 31 Disember 2010 sesuai dengan matlamat RMK9. Mengikut rekod sistem e-kasih, terdapat hampir 45,000 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di seluruh negara. Daripada jumlah itu, lebih 11,000 telah disahkan statusnya dan telah pun mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Manakala pengesahan status lebih 14,000 KIR di Sabah dan Sarawak sedang giat dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan dijangka selesai pada penghujung tahun 2010.
• Sehubungan ini juga, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, kerajaan sentiasa mendengar rintihan serta merasai denyut nadi rakyat dan tidak sekali-kali memandang mudah soal kebajikan rakyat. Kerajaan mahu setiap bantuan yang dijanjikan bukan sahaja sampai ke tangan rakyat tetapi tiba pada masa yang tepat. Oleh itu, bermula Januari 2010  semua bantuan kebajikan untuk rakyat akan dibayar pada tiap 1 hari bulan bagi bulan yang berkenaan.
•  Sememangnya, sumbangan kaum wanita kepada pembangunan negara tidak dapat dinafikan. Malah, kaum hawa membentuk separuh dari penduduk Malaysia. Bersesuaian itu kerajaan berhasrat untuk melatih dan melahirkan lebih ramai jumlah usahawan wanita. Sehingga Jun 2009 sahaja, seramai 717 wanita yang berpotensi untuk dibimbing menjadi usahawan dalam program Sahabat Amanah Ikhtiar telah dikenal pasti. Justeru, kerajaan dengan ini menetapkan matlamat untuk menambah lagi jumlah usahawan di kalangan wanita ini kepada seramai 4,000 orang  menjelang tahun 2012 melalui program Amanah Ikhtiar Malaysia.
5) NKRA yang kelima : Memperkasa Prasarana Luar Bandar dan Pedalaman
• Bersesuaian dengan semangat dan konteks ajaran al Quran Surah Al-Hashr ayat 7 bahawa, janganlah hendaknya harta dan kekayaan itu beredar di kalangan orang-orang berada sahaja bahkan sepatutnya ia melimpah ke seluruh negara. Maka, atas prinsip maslahah umum juga, tiada yang sepatutnya tercicir dari merasai mahsul kemakmuran.
• Lantaran itu, pentadbiran kerajaan akan terus giat memperkasa infra luar bandar dan pedalaman. Menjelang tamatnya tahun 2010 dirancang sepanjang 750 km jalan luar bandar akan siap dibina di Sabah dan Sarawak. Jumlah ini akan ditambah lagi kepada 1,500km atau dua kali ganda daripada perancangan awal. Ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM4 bilion dan akan siap terlaksana sebelum penamat tahun 2012.
• Jalan-jalan yang akan dibina terdiri daripada tiga (3) kategori iaitu jalan berturap (paved), jalan kerikil (gravel) dan jalan tanah yang akan memberi kemudahan perhubungan serta faedah kepada hampir 2 juta penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak.
•  Manakala di Semenanjung Malaysia pula, bagi tempoh yang sama, liputan rangkaian jalan luar bandar akan dipertingkatkan bagi memastikan kesemua rakyat tinggal paling jauh pun, 5km dari kemudahan jalan berturap. Ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM1 bilion dan bermakna jumlah peruntukan yang diperlukan bagi penyediaan infrastruktur asas sehingga 2012 adalah sebanyak RM5 bilion.
• Pada masa ini, liputan bekalan air bersih di Sabah dan Sarawak masih belum memuaskan iaitu masing-masing di sekitar 62%. Justeru, Kerajaan telah menetapkan pada akhir RMK9 liputan bekalan air bagi kedua-dua negeri berkenaan akan dipertingkatkan kepada 70%. Kerajaan begitu serius untuk menyediakan kemudahan bekalan air bersih kepada semua rakyat dalam tempoh terdekat ini. Jadinya, tindakan segera akan diambil untuk meningkatkan liputan bekalan air sehingga 90% di Sabah dan Sarawak pada penghujung tahun 2012. Untuk tujuan ini sejumlah RM2 bilion diperuntukkan dan akan membawa kemudahan kepada 60,000 buah rumah.
• Selanjutnya, memandangkan pada masa ini liputan bekalan elektrik di Sabah dan Sarawak juga masih rendah iaitu masing-masing sekitar 80% berbanding 99% di Semenanjung, Kerajaan bermatlamat untuk meningkatkan liputan bekalan elektrik di kedua-dua negeri tersebut kepada 95% pada akhir tahun 2012. Sejumlah RM3.9 bilion akan diperuntukkan untuk tujuan ini yang akan membawa nikmat kepada 80,000 buah rumah. Kerajaan juga menyasarkan untuk memberi bekalan elektrik 24 jam kepada 7,000 rumah Orang Asli di Semenanjung pada akhir tahun 2012.
• Kerajaan turut berhasrat untuk menyediakan kemudahan kediaman yang lebih selesa kepada golongan miskin dan sehubungan itu, Kerajaan akan membina dan membaik pulih sejumlah 50,000 unit rumah bagi keperluan golongan tersebut sehingga penghujung 2012 di seluruh Malaysia.

6) NKRA yang keenam – Menambah Baik Pengangkutan Awam dalam jangka masa sederhana

• Dalam era Malaysia melangkah sebagai sebuah negara maju, kerajaan berhasrat untuk menyediakan rangkaian sistem pengangkutan awam yang komprehensif bagi memenuhi keperluan rakyat. Kerajaan sedar bahawa usaha yang serius dan bersifat jangka panjang diperlukan bagi menjayakan matlamat ini.
• Mengikut pada statistik Kementerian Pengangkutan, pada masa ini hanya 16% daripada penduduk Lembah Klang menggunakan sistem pengangkutan awam. Jadi, Kerajaan menyasarkan bahawa peratus ini akan ditingkatkan lagi kepada 25% pada penghujung tahun 2012. Namun, harus disedari, untuk meningkatkan peratus ini, ia melibatkan pelbagai pelaburan yang besar, mapan dan berjangka panjang. Walau apa pun, buat langkah permulaannya, PM mengumumkan menjelang penghujung 2012, tambahan 35 set “4-car-train” akan beroperasi untuk laluan LRT Kelana Jaya.  
 
Kesimpulan

Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ini membuktikan Kerajaan di bawah pimpinan YB Dato Seri Najib Tun Razak begitu telus dan komited untuk melaksanakan transformasi perkhidmatan kerajaan yang bermutu tinggi kepada rakyat. Ini kerana dengan adanya NKRA ini rakyat boleh menilai keberkesanan kepimpinan YB Dato Seri Najib Tun Razak secara adil dan sistematik tanpa berdasarkan emosi ataupun persepsi semata-mata.
Selain daripada itu juga Kerajaan pimpinan YB PM telah memperkenalkan sistem pengukuran prestasi yang boleh membuktikan secara fakta keberkesanan setiap 6 bidang NKRA. NKRA ini juga merupakan manifestasi kerajaan dalam meletakkan amanah dan mandat rakyat di kedudukan tertinggi dan bermaruah di samping mencapai konsep 1Malaysia di mana, “ rakyat didahulukan dan pencapaian di utamakan.”

Transformasi UPSR

Transformasi UPSR


Mata Pelajaran Bakal di masukkan ke dalam penilaian Sekolah Rendah

SHAH ALAM: Kerajaan belum membuat keputusan untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) walaupun ia dilihat tidak lagi relevan dalam sistem pendidikan negara yang dinamik, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya, Muhyiddin berkata UPSR masih boleh digunakan sebagai asas penilaian, tetapi dengan sedikit pengubahsuaian terhadap peperiksaan itu dari segi kepentingannya.

“Mungkin kepentingannya dikurangkan daripada 100 kepada 30 atau 40 peratus. Yang lain akan ambil kira mata pelajaran Sejarah. Jadi, tidaklah lari daripada apa yang sedang dilaksanakan.

“Transformasi akan dilakukan terhadap UPSR dengan memasukkan elemen lain seperti mata pelajaran Sejarah sebagai kayu pengukur bagi menilai prestasi murid,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Shah Alam, di sini, semalam.


Ini pula Akhbar UTUSAN MALAYSIA

UPSR diteruskan - Muhyiddin


SHAH ALAM 19 Julai - Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak akan dimansuhkan sebaliknya asas penilaiannya diubah supaya kecemerlangan murid-murid tidak lagi bergantung seratus peratus kepada keputusan peperiksaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, transformasi itu selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan sistem pendidikan di negara ini tidak terlalu berorientasikan peperiksaan dalam mengukur kecemerlangan murid-murid.

''UPSR hanya menilai lima subjek sahaja sedangkan murid-murid belajar banyak subjek lain dan sekarang kita mungkin ambil kira faktor subjek Sejarah dan mata pelajaran yang lain.

''UPSR akan terus digunakan sebagai asas penilaian cuma kayu pengukurnya mungkin sekarang 100 peratus dikurangkan kepada 30 hingga 40 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Shah Alam di sini hari ini.

Muhyiddin diminta mengulas cadangan Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim supaya UPSR dimansuhkan kerana ia didapati tidak fokus kepada pencapaian murid-murid dalam semua mata pelajaran.

UPSR juga menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu menjadi medium persaingan murid-murid untuk memasuki sekolah berasrama penuh dengan hanya menumpukan lima mata pelajaran sahaja.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pandangan Razali sememangnya diambil kira oleh kerajaan yang mahu menggunakan pendekatan baru dan seimbang seperti menilai prestasi pelajar secara holistik.

Ujarnya, ia juga selaras dengan langkah menyusun semula sistem pendidikan asas yang turut melibatkan sistem penilaian menerusi peperiksaan termasuk UPSR.

UPSR diperkenalkan pada tahun 1987 bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Darjah Lima.

Murid-murid yang menduduki peperiksaan itu diwajibkan mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu (Penulisan), Bahasa Melayu (Pemahaman), Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.